بسم الله الرحمن الرحيم
Menyayangi untuk di sayang.
Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling kasih dikasihi, sayang disayangi dan cinta dicintai. Sepilah diri tanpa makhluk bernama kasih, sunyilah hidup tanpa makhluk bernama sayang dan gelaplah dunia tanpa makhluk bernama cinta. Namun, pada landasan apakah disandarkan segala rasa itu? Tepat terkena sasaran atau tersasar jauh dari tujuan yang asal? Tepuk dada, tanya iman.
Biar bertempat.
Apabila disebut tentang fitrah, maka ia tidak bisa untuk ditukar ganti atau diubah. Andai sahaja ia diubah, pasti kecelaruan melanda. Umpama kehidupan bertuhan. Memang manusia diciptakan dengan perasaan fitrah bahawa ada kuasa yang lebih hebat dan kuat mengatasi segalanya iaitu Tuhan.
Walaupun ada yang cuba menafikan akan kewujudan Tuhan, tetapi dikala mereka disapa dengan kesusahan dan kesedihan pasti terlahir di bibir kalimah, “Oh Tuhan”. Maka, tidak perlu untuk disangkalkan lagi bahawa kehidupan bertuhan itu adalah fitrah.
Sama seperti perasaan atau hati yang diberikan Allah terhadap setiap makhluknya. Perasaan itu diberi untuk manusia saling sayang menyayangi. Memupuk nilai yang aman dan damai dalam kehidupan bermasyarakat.
Cuma, bagaimana kita menterjemah segala rasa itu berbalik kepada diri kita sendiri. Seandainya kita bijak meletakkan nilai sebuah perasaan itu tepat pada tempatnya, maka pulangannya juga pasti mendamaikan. Tetapi, seandainya kita tersalah tempat, maka mungkin merana yang kita temui.
Sebagai contoh, kita sebagai anak. Sudah menjadi tanggungjawab kita mencintai kedua ibu bapa dengan sepenuh hati diatas segala jerih perit mereka untuk membesarkan kita. Tetapi, kalau kita menafikan hak mereka. Tidak merasa sayang terhadap mereka. Membiarkan mereka tanpa perhatian dan kasih sayang yang sepatutnya diberikan oleh seorang anak, tidak mustahil kehidupan kita dikemudian hari bakal menemui kesukaran dan kesusahan kerana hilangnya sebuah keberkatan yang berpunca dari sifat fitrah itu sendiri. Maka disaat itu, fitrah mula terasa dizalimi.
Ibarat aliran sungai yang mengalir. Telah ditetapkan ia mengalir tenang mengikut aliran kehilir, tetapi kita cuba mengubahnya mengalir kehulu. Mustahil bukan? Ya, ia sama dengan fitrah. Ketetapan yang telah ditetapkan cuba diubah, maka mustahillah ia akan berlaku.
Hati dan diperasaan dikurniakan Allah untuk mengikat ikatan antara manusia dan sesama makhluk yang lain. Apabila hati saling terpaut, kasih akan menumbuh, sayang akan mengembang dan cinta akan tersebar. Wujudlah dunia yang aman dan damai dengan sebaran wangian cinta. Namun, jika yang hati yang dikurniakan itu menjadi tempat untuk saling membenci, khazanah untuk menyimpan rasa iri hati dan dengki, maka lahirlah dunia dengan kerosakan yang nyata. Dunia tidak lagi menjadi syurga sementara buat mereka yang merindukan kedamaian. Kefasadan kian bermaharajalela.
Firman Allah yang bermaksud "Kerosakan telah nampak di darat dan di laut kerana tangan-tangan manusia sendiri mengusahakan..."
(30:41)
Allah sendiri telah melakarkan di dalam kitabNya, akibat apabila manusia tidak lagi mewujudkan rasa cinta dalam diri. Manusia hilang pertimbangan. Mereka dengan senangnya melakukan kerosakan tanpa belas kasih dan sayang. Cinta utama yang perlu menjadi keutamaan manusia adalah cinta kepada Allah, rasul dan ibu bapa. Bukan cinta terhadap nafsu. Bukan jua cinta yang palsu.
Jelaskan matlamat dan arah tujuan.
Oleh itu, sasarkan rasa kasih, sayang dan cinta kita pada sasaran yang tepat. Fokus. Jelaskan diminda dan hati, arah mana yang patut dituju. Supaya kita tidak tersasar atau tersalah arah, kemudian tersesat entah ke mana.
Bagi mereka yang mungkin telah tersesat, bertenang. Jangan gopoh. Curi sedikit masa untuk kembali bermuhasabah. Pinta kepada Allah agar diberi peluang untuk kesekian kali. Mohon supaya diberi petunjuk untuk kembali ke jalan yang benar. Usah disalahkan takdir yang telah menimpa, jadikan ia pengajaran buat diri. Pupuklah cinta terhadap Allah dengan sebenar-benar cinta dan sebarkan ia untuk seluruh manusia dan makhluk.
~Tautkan hati, pupuk mahabbah, sebarkan cinta .. ~
Comments
Minyintai,tukar mencintai.
Sekian,nice post :)
syukran atas kunjungan :)