Thursday, January 10, 2013

Cukuplah Allah sebagai Penolong

بسم الله الرحمن الرحيم 
صلوا على النبى

Kehidupan ini wasilah menuju Tuhan. Jalan mencari Allah dan kembara bertemu Ilahi. Bukan mengejar neraka yang bisa membakar dan membekukan jasad yang serba lemah ini.

Sepanjang hampir dua bulan berada di Malaysia ini, banyak yang telah saya perolehi. Ada suka, ada duka. Lumrah kehidupan seorang insan. Suka kerana boleh bersama keluarga, membantu mereka dan berkongsi pelbagai cerita sepanjang setahun lebih berada di bumi Jordan. 

Cuma, kadang-kadang sedih. Sedih bila dituduh dengan macam-macam sehingga terasa diri diaibkan dan diperlekehkan. Bukanlah niat saya untuk mengeluh, tetapi sekadar berkongsi pengalaman 'digelar' dan 'dikata' orang. 

Benar, kepulangan saya, tak ramai yang tahu termasuk keluarga besar. Tetapi kepulangan ini berlaku dengan izin umi dan abi. Tak perlulah dikecohkan seluruh dunia tentang keadaan saya (walaupun sempat buat status FB makluman pulang ke Malaysia)

Malangnya, bila ada saudara mara dan sahabat handai yang datang bertanya itu dan ini lantaran terkejut melihat saya berada di rumah, maka terlahirlah kata-kata yang cukup menguris hati. 

" Eh, baru pergi dah balik. Dahla tangguh sem, rugi la."
"Apalah awak ni, orang lain berebut-rebut nak belajar luar negara. Awak ni, taknak pula. Pelik."
"Bukan sakit sangat pun, saja bagi alasan nak balik. Padahal nak tengok baby je kan."
"Lambatla awak grad nanti. Ruginya."

Dan macam-macam lagi kata-kata berbisa yang terpaksa saya telan. Ya, mereka boleh menuduh dan bercakap sesuka hati. Hakikatnya, saya yang mengalaminya. Hanya saya yang tahu betapa derita sakit ini dan hanya saya yang tahu betapa saya tak nak balik untuk teruskan pengajian yang sudah separuh sem saya tempuhi. Semuanya, hanya saya yang tahu. 

Saya lebih suka merahsiakan keadaan penyakit ini. Biarlah saya dan keluarga yang tahu keadaan sebenar. Itu sudah cukup. 

Selama ini, saya cuba menahan menerima kata-kata sinis tersebut tetapi, memandangkan saya hanya insan biasa, hari ini hati saya cukup terluka. Biarlah sedikit coretan yang ditulis ini mampu menghilangkan rasa perit di dada. Bukanlah berniat membuka pekung didada, hanya ingin berkongsi rasa. 

Saya juga punya impian dan harapan. Perancangan kehidupan saya terpaksa diubah sekelip mata. Andai benar saya malas, Alhamdulillah, 3sem yang lepas saya tetap mampu meneruskan walau tanpa sokongan kalian yang berlidah tajam. Sekiranya betul saya ingin melarikan diri dari bumi Urdun, ketahuilah bahawa keputusan memilih Yarmouk Universiti, Irbid, Jordan adalah pilihan saya sendiri. 

Keputusan pulang ini, bukan dibuat tanpa musyawarah. Semua berlaku dengan istikharah dan musyawarah. Sedikit pun saya tidak kesal dengan kepulangan ini walaupun terpaksa menanggung kos flight, yuran jamiah (kuliyah) dan sewa rumah 2bulan tanpa dihuni. Banyak bukan? Tetapi semua ini terpaksa dilakukan daripada saya bakal menghadapi keadaan yang lebih kritikal kelak.

Banyak lagi yang terpaksa dikorbankan, tetapi biarlah semua itu menjadi urusan saya dan Allah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa dan kesalahan saya selama ini.

Sedih bila mengenangkan, ada insan ynng sesuka hati menuduh melulu tanpa bertanya atau mengetahui keadaan sebenar. Inilah hikmat terbesar kenapa Allah sangat melarang membuat fitnah, mengumpat dan mengeji, kerana terkadang apa yang kita RASA kita TAHU sebenarnya kita TAK TAHU.

Benarlah kata-kata itu lebih tajam dari sebilah pisau. 

Banyak yang saya belajar daripada apa yang saya alami ini, antaranya : 

1. Kita sebagai manusia, jangan mudah berburuk sangka (SuuZhon) terhadap sesiapa pun. 
2. Sekiranya kita tidak tahu, jangan buat-buat tahu. Bertanyalah, itu kunci menghalang dari SuuZhon.
3. Jangan mudah menuduh dan mengeluarkan kata-kata tanpa fikirkan hati dan perasaan si pendengar.
4. Beri dorongan dan sokongan kepada mereka yang kurang sihat untuk meneruskan kehidupan kerana emosi orang yang sedang sakit sangat sensitif.
5. Belajar menjadi seorang yang positif tanpa mempedulikan kata-kata manusia terhadap kita. Bukankah, 'Cukuplah Allah sebagai penolong dan sebaik-baik pelindung.' ?



Apapun, saya tidaklah menyimpan dendam terhadap 'kalian' yang berkata-kata, mungkin kalian ingin menasihati tetapi saya yang tesalah tafsir. Ataupun, mungkin kalian rasakan keputusan ini bukanlah keputusan yang terbaik dan sekadar ingin membantu saya menyediakan perancangan yang lebih rapi untuk masa hadapan. Terima kasih saya ucapkan.

Sekiranya, tulisan ini dirasakan agak 'keterlaluan', sila maklumkan. Sama-sama kita baiki diri kearah kehidupan yang lebih baik sebagai seorang muslim. Wallahua'lam. 

4 comments:

Shazmie Nadziri said...

salam. terjumpa blog ni masa tengah blogwalking.

syafakillah. moga terus kuat

Si perantau said...

Wassalam. Insyallah. Jazakallah =)

Haiqalzafri said...

Kita tahu apa yang kita buat,
Abaikan apa yang dikatakan orang lain.

Semoga terus tabah :)

Si perantau said...

Insyallah :)